Khamis, 6 September 2012

Pesta Pantun 2009 (Taman Warisan Melayu)





Pada bulan Februari 2009, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) telah mengadakan pertandingan berbalas pantun peringkat posmenengah. Pertandingan ini telah berlangsung selama tiga minggu dimulai dengan bengkel mengarang pantun yang dikendalikan oleh pensyarah dari Institusi Pendidikan Nasional (NIE) Puan Kartini binte Anwar di Bilik Function, Yusuf Ishak House, pada 14 Februari 2009.

Pada pertandingan pesta pantun musim ketigabelas ini, lapan institusi telah berentap untuk merampas Piala pusingan Suratman Markasan. Ini termasuk Institusi Pendidikan Teknikal (Kampus Bishan) yang buat julung-julung kalinya menyertai pertandingan ini. Pada minggu pertama, tiga peringkat saringan telah diadakan di Dewan Istana. Saringan pertama dan kedua diadakan pada hari Sabtu, 21 Februari 2009 dan saringan terakhir diadakan hari seturusnya. Peringkat saringan ini merupakan sistem kalah mati di mana institusi yang meraih markah tertinggi bagi setiap saringan akan melangkah diri ke peringkat peringkat akhir pada 28 Februari 2009.

Selain daripada merapatkan silraturrahim di antara pelajar-pelajar posmenengah, tujuan pertandingan berbalas pantun ini ialah menyediakan ruang bagi pelajar-pelajar posmenengah untuk menampilkan bakat pantun. Di samping itu, pertandingan ini dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran mengenai puisi traditional Melayu di kalangan pelajar dan menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan sastera Melayu.

Pengacara pada pertandingan akhir pesta pantun pada hari itu ialah Nur Farahin Binte Salleh dan Siti Nur Nadirah Bte Asmadi. Turut hadir dalam acara pertandingan akhir ialah tetamu terhormat Encik Yatiman Yusof, anggota Lembaga NParks. Ketibaan tetamu terhormat telah diiringi dengan paluan kompang dari Sekolah Menengah Dunearn. Pertandingan peringkat akhir bermula pada pukul sebelas pagi sejurus selepas tetamu terhormat, Encik Yatiman Yusof, merasmikan upacara pertandingan akhir dengan memukul gong. Upacara perasmian ini disambut dengan tepukan gemuruh daripada penyokong daripada tiga buah institusi yakni Maktab Rendah Anderson, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Maktab Rendah Institusi Raffles.

Pada tahun ini Madrasah Wak Tanjong telah memilih warna Putih sebagai warna seragam manakala Maktab Rendah Institusi Raffles telah memilih warna emas dan coklat dan Maktab Rendah Anderson melilih warna biru. Tema untuk peringkat akhir ialah usik-mengusik. Oleh itu, pantun-pantun yang bakal dijual beli haruslah berunsurkan jenaka dan senda bergurau.

Di peringkat akhir pula, setiap sekolah dikehendaki menganalisa tema daripada klip-klip video yang ditayangkan dan mereka harus mengarang pantun mengikut tema video klip tersebut. Di dalam pusingan ini, para peserta diberi kebebasan untuk mengarang pantun dua, empat atau enam kerat. Penilaian akan diberi berdasarkan mutu pantun.

Sementara menunggu keputusan daripada pengadil, para tetamu dihiburkan dengan persembahan Joget Inang Pulau Kampar daripada Sekolah Menengah Dunearn. Setelah menyaksikan persembahan tari, para penonton dihiburkan dengan nyanyian duet daripada kumpulan D.U.A. yang dianggotai oleh Muhammad Sharil Bin Abdul Hamid dan Muhamad Nasrin Arif Bin Muhamad Malek. Penyanyi daripada Institusi Pendidikan Teknikal (kampus Bishan) ini pernah memenangi tempat pertama dalam peraduan ujibakat ‘Bishan Got talent’ di sekolah mereka. Mereka mempunyai cita-cita untuk menerbitkan album meraka sendiri. Peranan mereka untuk acara ini ialah menyanyikan lagu tema pertandingan pesta pantun 2009 iaitu ‘nada bahasa.’ Lagu yang dipentas oelh mereka merupakan hasil gubahan lagu sendiri. Di dalam acara salingan seterusnya, tetamu kita dihuburkan dengan lagu tradisional oleh Cikgu Abdul Manaf dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang. Beliau menyanyikan lagu gurindam ibu dan ayah bersama dua lagi rakannya yang bermain keyboard.

Setelah menyaksikan acara salingan, para peserta dijemput naik ke pentas semula untuk memulakan upacara penymapaian hadiah.. Pertandingan berbalas pantun pada tahun ini dimenangi oleh Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Tempat kedua jatuh kepada Maktab Rendah Anderson dan Maktab Rendah Institusi Raffles berada di tempat ketiga. Setiap finalis telah dihadiahkan sebuah trofi tajaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan buku kompilasi, Nilam, tuisan Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, yang ditaja oleh Majlis Pusat.

Sejarah Ringkas

Pertandingan berbalas pantun di peringkat posmenengah ini telah memasuki tahun yang ketigabelas di mana Maktab Rendah Nasional telah memenangi pertandingan ini pada julung-julung kali diadakan pada tahun 1997. Pertandingan ini seterusnya dimenangi oleh Politeknik Temasek. Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah menjadi madrasah pertama memenangi pertandingan ini pada tahun 1999. Pada tahun 2009, buat julung-julung kalinya pertandingan pada kali ini disertai oleh sebuah Institusi Pendidikan Teknikal dari Kampus Bishan. Juara bagi setiap pertandingan akan membawa pulang Piala Pusingan Suratman Markasan. Piala Pusingan ini akan menjadi milik institusi apabila institusi itu berjaya memenangi pertandingan pertandingan ini selama tiga kali berturut-turut. Sejauh ini belum ada institusi yang berjaya memilikinya. Piala pusingan ini diangkat nama sasterawan negara Suratman markasan. Pertandingan kini di bawa sekretariat persuratan (PBMUKS) oleh sasterawan negara Cikgu Djamal Tukimin, Cikgu Aliman Hassan dan Cikgu Suratman Markasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan