Jumaat, 9 Disember 2011

Haruskah kita dibiarkan buta?

Mukadimmah

Pada tanggal 26 Oktober 2011, Encik Effendy, seorang calon falsafah kedoktoran (Phd) di Universiti of Hawaii, telah membuat beberapa kritikan mengenai golongan yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah bangsanya. Beberapa hari kemudian, Encik Haji Diman Ahadi, telah memberi pendapatnya menerusi ruang forum yang bertajuk “bantu warga tahu sejarah sebelum Raffles” (Berita harian, 29 Oktober 2011) mengenai melestarikan tokoh-tokoh sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam rencana itu, Encik Haji Diman telah mencadangkan supaya cerdik pandai dan pakar sejarah kita harus mengkaji sejarah negara ini dan menyebarluaskan kepada warga. Adakah sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles telah sengaja dikaburkan oleh pihak-pihak tertentu? Atau warga Singapura sendiri yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah Singapura? Adakah masalah mengenai sejarah Singapura ini hanya dirasai oleh orang Melayu di Singapura sahaja?

Sebab-sebab kenapa sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles dikaburkan daripada penglihatan warga Singapura

Secara rasminya, S. Rajaratnam, timbalan Perdana Menteri pada tahun 1967, telah mengisytiharkan Thomas Stamford Raffles sebagai pengasas Singapura. Perbahasan mengenai siapa yang seharusnya diisytiharkan sebagai pengasas Singapura telah dirakamkan di dalam buku kompilasi ucapan-ucapan beliau yang bertajuk “S. Rajaratnam: The Propehtic and the Political”. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dipengaruhi oleh usaha S.Rajaratnam dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Dengan perlantikan Raffles sebagai pengasas, setiap bangsa di Singapura akan mempunyai sejarah permulaan yang sama, iaitu, bertapak sebagai masyarakat pendatang. Memandangkan Singapura mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, pemilihan personaliti daripada sebuah masyarakat, jika tidak ditangani dengan baik, boleh mendatangkan kerumitan dalam proses pembentukan sebuah negara. Oleh itu, pelantikan seorang penjajah seperti Raffles merupakan pilihan yang selamat memandangkan perlantikan beliau sebagai pengasas tidak memperlihatkan sejarah negara sebagai tidak memihakkan kepada sesebuah bangsa di Singapura. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dikuatkan lagi dengan sokongan daripada Raffles Professor di Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Professor K.G Tregonning, di dalam buku “150th anniversary of the founding of Singapore”, yang mengatakan Singapura moden bermula pada tahun 1819. Tiada perkara yang berlaku di atas pulau sebelum ini yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk memahami kejadian kontemporari. Oleh itu, sejarah nasional Singapura secara rasminya bermula pada tahun 1819.

Kesan sejarah Singapura terhadap identiti bangsa Melayu

Memandangkan pembentukan negara bangsa di Singapura berdasarkan konsep berbilang kaum, setiap identiti kaum di Singapura telah ditetapkan oleh pemerintah. Perkara ini boleh dilihat menerusi dasar-dasar bahasa ibunda. Bagi kaum Cina, bahasa Mandarin telah dipilih sebagai bahasa ibunda. Kaum Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Bahasa Tamil pula dipilih untuk menjadi bahasa ibunda untuk kaum India. Memandangkan setiap kaum di Singapura diberi hak sama rata dari segi layanan dalam usaha mengekalkan identiti mereka, status istemewa bangsa Melayu sebagai peribumi negara Singapura menjadi kurang jelas. Malah, kesan sejarah Singapura ini juga menimbulkan kekeliruan mengenai status orang Melayu di Singapura. Orang Melayu di Singapura juga telah dianggap sebagai masyarakat pendatang sama seperti kaum Cina dan India. Dengan meluputkan sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles, hubungan sejarah Singapura dengan tanah Melayu telah diputuskan seolah-olah Singapura ini tidak terletak di tengah-tengah Alam Melayu.

Sikap pemerintah terhadap sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles

Pengkaji purba seperti Professor Miksic telah mengadakan beberapa penggalian di Ford Canning dengan berkat tajaan daripada Royal Dutch Shell Petroleum Comapny pada tahun 1984. Berdasarkan hasil kajian ini, Professor Miksic berjaya menemukan bahan arkeologi yang berasal daripada kurun keduabelas. Hasil penemuan ini sekaligus membuktikan bahawa pernah wujudnya sebuah istana yang bertampak di atas Ford Canning. Bekas tampak istana ini dipercayai adalah sebuah tempat kediaman raja temasek yang pernah disebutkan di dalam Sejarah Melayu. Namun begitu, pemerintah Singapura mempunyai sikap persimistik mengenai bahan-bahan arkeologi. Ini adalah kerana bahan-bahan arkeologi ini tidak mendatangkan keuntungan kepada ekonomi Singapura. Pada masa yang sama, Sejarah Melayu telah dianggap sebagai bahan bacaan yang tidak boleh dianggap sebagai rekod sejarah. Pemerintah Singapura lebih gemar mengenai sejarah objektif. Tokoh sejarah seperti Tun Seri Lanang dan Sang Nila Utama boleh dianggap sebagai tokoh mintos yang masih lagi dipertikaikan mengenai kewujudan kedua-dua tokoh sejarah. Namun begitu, pakar sejarawan telah membuat satu kesimpulan bahawa kerajaan Melayu temasek mungkin wujud setelah penemuan bahan arkeologi di Ford Canning disilang rujuk dengan rekod sejarah cina oleh Wang Dayuan, sumber Portugis Suma Orental oleh Tom Pires dan Sejarah Melayu.

Kajian lepas mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles

Masalah mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles pernah diketengah oleh Professor Syed Hussein Alatas. Di dalam satu seminar yang bertajuk “Malays/Muslims and the history of Singapore”, anjuran Centre for Research on Islamic and Malay Affairs (RIMA) di bawah naungan Association of Muslim Professional (AMP), beliau mengetengahkan beberapa masalah dalam penulisan sejarah Singapura. Pada pendapat beliau, terdapat banyak perkara yang berlaku di Singapura pada kurun keenambelas dan tujuhbelas yang masih terselindung. Ini adalah kerana pihak Inggeris tidak merujuk kepada arkrib Belanda semasa menulis sejarah mengenai Singapura. Isu mengenai akrib juga dibincangkan di dalam buku, The Makers and Keepers of Singapore History, Loh kah Seng, menerusi rencananya, “Encounters at the gates,” ada mengatakan bahawa ada kawalan ketat mengenai bahan-bahan sejarah yang boleh dirujuk untuk membuat kajian sejarah. Kawalan ini dilaksanakan untuk melindungi kepentingan pemerintah. Namun begitu, buku ini juga memberi saranan bahawa usaha untuk mendapatkan bahan-bahan sejarah juga boleh didapatkan melalui “pagar tepi” iaitu akrib di luar negara jika laluan ke “pagar depan” iaitu akrib negara tersekat kerana dikunci.

Peter Borschberg, seorang sejarawan daripada Jabatan Sejarah, NUS, telah menulis sebuah makalah di Journal of Malaya Branch of the royal Asiatic society yang bertajuk “Jacques de Coutre as a Source for the Early Seventeenth-Century History of Singapore, the Johor River and the Straits”. Dengan menggunakan dokuman sejarah daripada Sepanyol, Peter Borschberg dapat membuktikan bahawa ada seorang Shahbandar di Singapura pada kurun ketujuhbelas. Dokumen-dokumen Sepanyol juga dapat membuktikan bahawa Portugis ada ura-ura untuk membina sebuah kubu di selatan Singapura untuk melindungi kapal-kapal dagang Portugis daripada diserang kapal perang VOC (Belanda) dan Johor. Buku yang bertajuk Prince of Pirate: The Temenggong and Development of Johor and Singapore, 1784-1885, oleh Carl A. Trocki, merakamkan pergolakkan politik Singapura sebagai sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau-Lingga sehinggakan pihak Inggeris berupaya mengambil kesempatan untuk menjadikan Singapura sebagai milik Inggeris. Buku ini juga merakamkan nilai-nilai sejarah Telok Blangah yang ada hubungan rapat dengan kerajaan Johor. Carl A. Trocki menghasilkan buku ini dengan mendapatkan sumber daripada akrib Johor.

Kini, penulisan sejarah Singapura di peringkat akademik sudah semakin matang. Terdapat percubaan untuk menulis sejarah Singapura menjangkau tahun 1819. Kwa Chong Guan, merupakan salah seorang perintis sejarawan Singapura yang telah banyak menulis mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam buku Malays/Muslims in Singapore: Selected Readings in History 1819 – 1965, beliau telah menulis sebuah bab yang bertajuk Why did Tengku Hussein Sign the 1819 Treaty with Stamford Raffles? Di dalam babab ini, beliau menceritakan perjanjian 1819 ini daripada perspektif Raja Ali Haji. Menurut Raja Ali Haji, pertabalan Tengku Long bukan sebagai Sultan Johor tetapi digelar Yang Dipertuan Selat. Di dalam buku Singapore from Temasek to the 21st Century: Reinventing the Global City, Kwa Chong Guan juga menulis sebuah bab yang berjudul Singapura as a central place in malay history and identiti. Di dalam bab ini, beliau telah mengaitkan Singapura dengan Sejarah Melayu untuk membuktikan bahawa Singapura ada peranan penting dalam pembentukan sejarah di alam Melayu.

Sejarah Singapura sejak kurun keduabelas juga telah dihasilkan menerusi buku Singapore, A 700-year history: From Early Emporium to World City, terbitan Akrib Negara Singapura (NAS). Penulis buku ini merupakan penyarah daripada NUS. Mereka adalah Tan Tai Yong, Derek Heng dan Kwa Chong Guan. Buku ini menulis sejarah Singapura daripada perspektif yang berbeza. Lebih separah daripada bab yang ada di dalam buku ini tertumpu kepada sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles.

Haruskah kita dibiarkan buta?

Sudah terdapat banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Namun begitu, kenapa masih ramai warga Singapura yang tidak tahu mengenai sejarah Singapura sebelum tahun 1819? Ini adalah kerana sejarah nasional Singpura telah mendapat campur tangan oleh ahli politik. Oleh kerana niat pemerintah untuk menjadikan sejarah nasional Singapura sebagai alat pembentukan negara bangsa, elemen-elemen yang boleh menggugat keamanan negara telah dipadamkan di dalam buku teks sekolah. Salah satu elemen yang telah dipadamkan daripada buku teks sejarah sekolah ialah wujudnya kerajaan Melayu di Singapura pada abad yang keduabelas. Di Singapura, bangsa Melayu merupakan salah sebuah bangsa yang amat terkesan dengan pengajaran sejarah yang diajarkan di sekolah. Ini adalah kerana ramai di antara orang Melayu di Singapura berasa kurang senang dengan sejarah Singapura yang kurang tepat. Pasti ramai orang Melayu akan rasa tersinggung dengan perjanjian Sultan Hussein dengan Raffles pada tahun 1819 dan 1824. Ini diburukkan lagi dengan keadaan Singapura yang penduduknya majoriti berbangsa Cina. Sikap pemerintah Singapura terhadap sejarah orang Melayu di Singapura juga agak merumitkan. Istana kampung Glam yang dahulu dimiliki oleh waris keenam Sultan Hussein kini sudah menjadi sebuah taman warisan yang sudah gagal. Pameran di taman warisan melayu telah gagal untuk mewakili orang Melayu di Singapura.

Salah salah cara untuk membudayakan ilmu sejarah ialah mengadakan banyak aktiviti-aktiviti mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Berita Harian, sebagai suratkhabar bahasa Melayu tempatan tunggal harus memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosi buku-buku sejarah mengenai Singapura. Pada masa yang sama, persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti temptan haruslah bersikap kritkal terhadap kesan penulisan sejarah Singapura terhadap orang Melayu. Persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti seharusnya mengadakan satu acara tahunan yang mempunyai tujuan untuk menyingkap sejarah Singapura daripada perspektif orang Melayu. Di Univerisiti Kebangsaan Singapura (NUS), saya masih belum lagi terlihat persatuan Melayu/Islam yang mengadakan kegiatan yang berhubung kait dengan sejarah dan warisan Melayu di Singapura. Mahasiswa harus memainkan peranan yang proaktif dalam memperjuangkan sejarah dan warisan Melayu alternatif yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh guru-guru di sekolah nasional untuk pelajarnya. Cara seterusnya dalam melestarikan sejarah Singapura ialah mendedahkan bahan-bahan bacaan kepada para pelajar di samping melawat tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan bahan-bahan bacaan yang diberi.

Akhirul kalam

Natijahnya, sudah banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah usaha yang lebih gigih dan kreatif untuk menyedarkan sejarah Singapura. Jangan membiarkan generasi muda kita buta dengan sejarah Singapura.