Khamis, 11 Ogos 2011

Taman Warisan India Muslim di Chinatown

Keramat Nagore Dargah

Sebelum menjelang Ramadhan, saya sempat pergi ke satu tempat yang bersejarah. Tempat itu dinamakan keramat nagore Dargah. Keramat Nagore Dargah ini merupakan sebuah keramat yang diasaskan oleh masyarakat India Islam yang berhijrah ke Singapura atas urusan dagangan dan sebagainya. Keramat ini dibina pada tahun 1827 dengan tujuan untuk memperingati seorang wali yang bernama Shahul Hamid dari Nagore, India. Reka bentuk keramat ini juga sama seperti Keramat Nagore Dargah di India. Lokasi keramat ini pada asalnya terletak di tepi telok. Sebenarnya kawasan telok ayer ini merupakan sebuah teluk sebelum ia ditambak oleh penjajah Inggeris untuk memperluaskan kegunaan tanah di Singapura. Keramat ini juga terletak berhampiran dengan kuil Cina Thian Hock Keng. Sememangnya kedua-dua banguan beribadah ini dibina pada di tepi laut. Namun begitu, ramai orang tidak tahu sejarah di sebalik tempat yang bernama Telok Ayer.


Diwartakan sebagai bangunan warisan sejarah pada tahun 1974

Sejarah Telok Ayer

Keramat Nagore Dargah ini telah diiktirafkan sebagai sebuah monumen nasional pada tahun 1974. Bangunan ini telah dibaik pulih dan kini monumen ini telah dijadikan taman warisan India Islam pada tahun 2011. Pembukaan Taman warsian India Islam telah dirasmikan oleh Presiden Republic Singapura S. R Nathan. Tujuan taman warisan ini ialah untuk memperkenalkan dan mendidik orang awam mengenai sejarah masyarakat India Islam di Singapura. Pada masa yang sama, tujuan taman warisan ini juga mengiktirafkan masyarakat Indian Muslim sebagai sebahagian daripada warisan Negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah Singapura. Tapak tanah kearmat ini merupakan tanah waqaf. Oleh itu, ubah elok keramat ini untuk dijadikan sebuah taman warisan telah dibiayai oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).


Banquet di dalam bangunan Nagore Dargah

Bangunan Keramat Nagore Dargah ini amat kecil dan mempunyai satu tingkat sahaja. Di dalam bangunan terdapat beberapa buah pameran. Pameran-pameran ini menceritakan mengenai sejarah sosial masyarakat Indian Islam yang datang daripada pelbagai tempat di benua Asia Selatan. Salah satu pameran yang ada di dalam bangunan itu ialah adat perkahwinan. Pameran-pameran ini ditulis dalam bahasa tamil dan Inggeris. Sekurang-kurangnya ada tujuh bahasa Asia Selatan: Hindi, Punjabi, Gujurati, Bengali, Malayam, Telegu dan Tamil. Bahasa Tamil digunakan kerana ia merupakan bahasa rasmi untuk masyarakat India di Singapura. Selain daripada pameran, di dalam bangunan ini juga mempunyai kedai makan BANQUET. Namun begitu, hanya makanan India sahaja yang disajikan. Keunikan kedai makan ini ialah meja-meja makanan telah dihiasi dengan butir-butiran mengenai sejarah makanan India di Singapura.



Buku sastera dalam bahasa Tamil

Mesin taip resep yang digunakan oleh peniaga India Muslim

Keramat Nagore Dargah ini merupakan simbol kemegahan masyarakat India Islam. Ini adalah kerana bangunan ini telah dibina oleh masyarakat India Islam pada zaman awal penjajahan Inggeris di Singapura. Ia merupakan bangunan yang bersejarah yang merakamkan pahit manis masyarakat India Islam diaspora di Singapura. Jika dibiarkan bangunan ini kosong dan usang, elok juga bangunan ini diberikan nafas baru dengan membina sebuah pusat atau taman warisan untuk orang India Islam. Ada bagusnya taman warisan ini dikhaskan untuk mempamerkan sejarah dan budaya orang India Islam walaupun pemerintah telah setuju untuk membina taman warisan India pada tahun 2013. Sekurang-kurangnya, masyarakat India Islam di Singapura boleh mempamerkan lebih banyak mengenai sejarah masyarakat India Islam di Singapura.


Gambar-gambar yang menghiasi ruang pameran


Pameran-pameran di dalam keramat Nagore Dargah ini relevan bagi sesiapa yang mengikuti kursus Pengajian Asia Selatan, Pengajian Asia Tenggara dan mungkin juga sesiapa yang mengikuti kursus pengajian Melayu. Ini adalah kerana taman warisan India Islam ini menunjukkan bagaimana sebuah kaum minoriti ini dalam terus hidup dan mempertahankan warisan mereka dan pada masa yang sama dapat berintegrasi dengan kaum lain. Seterusnya, taman warisan ini juga cuba memperbetulkan stereotaip pandangan umum mengenai masyarakat India Islam di Singapura. Contohnya, tidak semua orang India boleh bertutur dalam bahasa Tamil dan tidak semua orang India telah mengikut adat dan budaya Melayu. Namun begitu, apa yang tidak ditonjolkan di dalam pameran-pameran ini ialah hubungan orang Melayu, Arab dan India dalam menghidupkan perkembangan Islam di Singapura. Salah satu isu atau informasi yang tidak ditonjolkan dalam pameran ini ialah pemimpin-pemimpin politik semasa perang dunia kedua dan kesan perpisahan Pakistan daripada India terhadap masyarakat India Islam di Singapura. Pameran-pameran di Taman Warisan India Muslim ini masih boleh diperbaiki. Pengendali taman warisan ini boleh mempertimbangkan mengunakan kaedah interpretif, di mana pengunjung taman warisan itu dapat menghayati warisan sejarah dengan mendengar temuduga yang telah dirakamkan. Pada masa yang sama, setiap gambar yang terlekat di dinding harus diberi penjelasan. Pengurus taman warisan ini juga boleh memasarkan tempat itu kepada pelajar di sekolah.Namun begitu, pameran-pameran di dalam bangunan Nagore Dargah cukup menarik untuk kunjungan orang ramai dan cukup sesuai untuk penggemar sejarah warisan Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan