Jumaat, 1 Julai 2011

Kota purba di Singapura

Pada tanggal 27 Januari 2011, saya telah ke Fort Canning Park. Sebenarnya, inilah pertama kali yang pergi ke Fort Canning Park walaupun taman atau bukit ini telah diduduki orang sejak kurun ke duabelas atau mungkin lebih awal daripada itu. Saya dibawa oleh guru saya Prof Barnard berserta dengan rakan-rakan saya yang lain untuk melawat keramat Sultan Iskandar Syah. Keramat ini mempunyai mintos yang tersendiri dan amat sukar bagi manusia yang tinggal di abad keduapuluhsatu untuk mempercayainya.

Keramat Iskandar Syah

Secara rasmi, keramat ini telah dinamakan Keramat Sultan Iskandar Syah. Menurut sulalatus Salatin, Sultan Iskandar Syah ini merupakan Sultan Melaka yang pertama. Terdapat perbezaan pendapat mengenai keramat yang terletak di Ford Canning park. Menurut Sejarah Melayu, Seri Tri Buana dikebumikan di bukit Singapura (dipercayai bukit larangan) tidak jauh daripada tempat Wan Seri Beni disemadikan. Wan Seri Beni merupakan Permaisuri kepada orang laut. Permaisuri ini telah menjadi Seri Tri Buana (Sang Nila Utama) sebagai anak angkat. Demang Lebar Daun juga turut disemadikan di kawasan itu juga. Oleh itu, kepunyaan keramat di Ford Canning ini tidak dapat disahkan memandangkan terdapat sumber-sumber lain yang mengatakan bahasa keramat ini adalah kepunyaan Seri Tri Buana (Sang Nila Utama), raja Singapura pertama.

Professor Barnard sedang memberi penjelasan mengenai Keramat Sultan Iskandar Syah

Di zaman teknologi ini masih ada orang lagi yang percaya kepada tahyul. Tiap-tiap pagi, pakcik ini akan meletakkan buah pisang ini di atas keramat ini. Di keramat itu juga terdapat banyak burung merpati. Masih ada orang percaya bahawa burung merpati ini datang ke keramat ini kerana keramat ini mempunyai semangat. Sebenarnya, burung merpati ini datang ke keramat kerana ada orang yang beri mereka makan tiap-tiap hari.

Percaya kepada tahyul

Sememangnya, orang Melayu pada kurun ke sembilanbelas masih lagi percaya kepada perkara-perkara tahyul dan daulat raja. Asal nama Fort Canning inilah Bukti Larangan. Ini diberikan nama bukit larangan kerana orang kebanyakan tidak digalakkan untuk naik ke bukit itu. Bukit itu dikhaskan untuk tempat kediaman raja. Di dalam Hikayat Abdullah, tercatit beberapa insiden mengenai Bukit larangan. Petikan adalah seperti berikut:

Raja Farquhar itu hendak naik ke Bukit Larangan yang dikatakan oleh Temenggung itu. Maka kata orang2 Temenggong: "Sahaya sekalian tiada berani naik, kerana banyak puakanya. Kerana sehari2 ada kedengaran di atas itu seperti bunyi orang orang bersorak." Kemudian maka Tuan Farquhar pun ketawa, katanya: "Sahaya mau lihat itu hantu". Lalu katanya kepada segala orang2 Melaka itu: "Tarik meriam ini bawa naik ke bukit itu."

Apabila sampai di atas bukit itu, tuan Farquhar melepaskan duabelas das tembakan meriam dan mendirikan sebatang kayu lalu menaikan bendara Inggeris.

Kesahihan Hikayat Abdullah

Pada hakikatnya, kesahihan Hikayat Abdullah juga menjadi isu kerana telah banyak pengkaji sejarah telah mengatakan bahawa Abdullah Munsyi tidak mempunyai objektiviti dalam penulisannya. Namun begitu, jika kita baca Hikayat Abdullah Munsyi dari segi apa yang tersurat, petikan di atas sungguh memalukan orang Melayu. Ini adalah kerana petikan ini mencerminkan kelemahan orang Melayu dan sekaligus memaparkan ketuanan Inggeris yang dilukiskan sebagai bangsa yang berani dan mempunyai sikap rasional. Sama ada cerita ini benar atau tidak, saya kurang pasti.

Wujudnya kota purba

Namun begitu, apa yang boleh dipastikan ialah kewujudan kota purba yang di percayai didirikan tujuh ratus tahun yang lalu. Pada mulanya, ramai orang percaya bahawa cerita yang tercatit dalam Sejarah Melayu mengenai wujudnya sebuah perlabuhan dan kerajaan di Singapura adalah satu mitos sahaja. Walaupun begitu, usaha-usaha penggalian tanah di telah menunjukkan kesan-kesan sebuah istana di atas Bukit Larangan. Pada tahun 1984, Professor Miksic dan pasukannya telah menjalankan usaha kajipurba di kawasan Fort Canning dan bahan-bahan arkeologi telah membuktikan bahawa Singapura adalah sebuah perlabuhan pada kurun keduabelas. Serpihan-serpihan mangkuk dan pinggan yang tertimbus adalah berasal daripada kurun keduabelas. Usaha-usaha penggalian ini telah ditaja oleh Royal Dutch Shell Petroleum.

Makmal Arkeologi NUS

Pada tahun lalu, saya diberi kesempatan untuk melawat ke makmal arkeologi di NUS. Makmal ini terletak di Kent Ridge Road. Tiada bas yang melawat ke tempat itu. Saya terpaksa berjalan kaki ke sana. Banyak bahan-bahan arkeologi ini diletakkan di bangunan ini. Sebenarnya, bangunan ini merupakan bangunan warisan perang dunia kedua. Bangunan ini merupakan rumah yang pernah didiami komander tentera Inggeris. Namun begitu, bangunan ini telah menjadi tempat menyimpan bahan-bahan purba ini. Saya melihat bahan-bahan purba ini disimpan seperti keropok.

Beginilah keadaan di makmal arkeologi NUS. Semua bahan arkeologi ini disimpan dalam plastik seperti keropok.

Di dalam kotak-kotak ini terdapat bahan arkeologi dari Aceh, Kota rentang, Kota Cina dan sebagainya.

Professor Miksic di makmal arkeologi NUS

Arkeologi di Singapura

Pemerintah tidak menyokong usaha kajian arkeologi. Ini adalah kerana bahan-bahan arkeologi ini tidak dapat mendatangkan keuntungan. Malah, sejarah singapura pada kurun ke duabelas ini sengaja diliputkan dan tidak ditonjolkan di buku-buku teks sekolah. Perspektif sejarah Singapura banyak terpengaruh oleh Raffles Professor Tregonning yang berpendapat bahawa sejarah Singapura hanya bermula pada tahun 1819. Oleh itu, kerja-kerja penggalian sejarah sukar untuk mendapat tajaan penuh oleh pemerintah. Sebagai langkah pembangunan negara, sejarah Singapura telah disusun semula untuk mendidik generasi muda bahawa negara Singapura ini berasal daripada masyarakat pendatang. Oleh itu, Tuan Raffles telah diiktirafkan sebagai pengasas Singapura. Malah, pada tahun 1967, satu lagi patung Raffles telah dibina di tepi Sungai Singapura. Patung Raffles itu berwarna putih. Patung Raffles yang bertama telah diletakkan di hadapan panggung Victoria. Kini patung itu berwarna hitam. patung yang berwarna hitam ini telah dibina oleh masyarakat perniaga di Singapura semasa menyambut tahun ke seratus penubuhan Singapura sebagai sebuah perlabuhan. Namun begitu, bahan-bahan arkeologi yang telah dijumpai di Fort Canning dan Kallang telah cukup kuat untuk menyangkal dakwaan Professor Tregonning.

Bekas tapak penggalian

Serpihan mangkuk yang dijumpai di Fort Canning

Bahan arkeologi yang dijumpai di Fort Canning

Semasa saya ke tempat itu, saya berkesempatan untuk bertemu dengan seorang posiswazah daripada Jabatan Sejarah, NUS. Dia berasa kesal kerana di NUS, tidak ada kursus pengkaji purba. Namun begitu, saya terlupa untuk bergambar dengan dia. Namun begitu, saya dapat bergambar dengan Prof Miksic.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan